Persoalannya: Adakah amalan membaca doa qunut nazilah pada setiap solat Jumaat seperti ini dibolehkan? Jika tidak dibolehkan kerana menyalahi Sunnah, apakah yang harus dilakukan oleh makmum yang mengikuti imam yang mengamalkannya?
******************
Qunut nazilah dibaca apabila berlaku musibah atau bencana, dan ditinggalkan qunut nazilah itu apabila telah diangkat bencana atau musibah tersebut.
Qunut nazilah pula boleh dibaca dalam setiap solat fardhu berdasarkan hadith daripada Hilal bin Khabbab daripada 'Ikrimah daripada Ibn 'Abbas:
قنت رسول الله صلى الله عليه وسلم شهراً مُتتابعاً في الظهر والعصر والمغرب والعشاء وصلاة الصبح في دبر كل صلاة إذا ال ( سمع الله لمن حمده ) من الركعة الآخرة يدعو على أحياء من بني سُليم على رعل وذكوان وعصية ويؤَمِن مَنْ خَلْفَه
Maksudnya: "Rasulullah saw telah berqunut selama sebulan berturut-turut dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, 'Isya' dan solat Subuh ketika akhir solat selepas baginda menyebut: Smi'allahu liman hamidah, pada rakaat yang akhir, baginda memohon balasan kepada beberapa kabilah dari Bani Sulaim, dari Ri'l, Zakwan dan 'Usayyah, dan diaminkan oleh mereka yang berada di belakang baginda." (al-Imam Ibn al-Qayyim mengatakan hadith ini sahih)
Namun begitu kebiasaan atau kebanyakan qunut yang baginda lakukan adalah di dalam solat Subuh. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
"Dan paling banyak qunut baginda adalah di dalam (solat) fajar/subuh." (Majmu' al-Fatawa. 22/269)
Kata al-Imam Ibn al-Qayyim: "Dan adalah dari petunjuk baginda saw qunut itu khusus ketika berlaku musibah/bencana sahaja, dan meninggalkannya apabila musibah/bencana itu tiada, dan baginda tidak mengkhususkannya dalam solat fajr sahaja, akan tetapi kebanyakan qunut baginda di dalam solat fajar." (Zaad al-Ma'ad: 1/273)
Qunut nazilah dalam solat Jumaat:
Dr. Yusuf bin Abdillah al-Ahmad di dalam risalahnya bertajuk Qunut al-Nawazil menyentuh sedikit sahaja bab qunut dalam solat Jumaat. Kesimpulannya tidak ada satu nas yang jelas yang menunjukkan kepada perkara tersebut (pensyariatannya). Abdul Razaq di dalam Musannafnya, demikian juga Ibn Abi Syaibah, Ibn al-Munzir di dalam al-Awsot menyebut beberapa athar daripada sebahagian sahabat Nabi saw dan tabi'ien secara umumnya meninggalkan qunut (tidak melakukannya) pada hari Jumaat. Akan tetapi athar yang dinyatakan tersebut tidak ada satupun yang menunjukkan qunut yang ditinggalkan tersebut adalah qunut nazilah, maka pendalilan yang digunakan atas ditinggalkan qunut nazilah pada hari jumaat tersebut tidak jelas.
Selain itu ada pula pendapat yang mengatakan qunut dilakukan di dalam solat jumaat juga. Pendapat ini dipilih oleh al-Qadhi.
Dr. Yusuf bin Abdillah al-Ahmad berkata di akhir risalahnya tersebut:
"Dan asal di dalam ibadat adalah terlarang sehingga jelas pensyariatannya, maka permasaalahan ini (yakni qunut dalam solat Jumaat, dalam solat sunat, dan dalam solat sendirian) memerlukan penyelidikan dan pemerhatian yang lebih."
Dalam persoalan qunut nazilah bagi yang menunaikan solat bersendirian, al-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman bin Jibrin mengatakan asal qunut nazilah ini secara berjemaah, namun jika ada yang melakukannya sendirian, perbuatannya itu tidak dibantah.
wallahu a'lam.
---------------------
Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak, IQ
2 comments:
dari mana asal-usul doa ni?
sebab dulu ada umat Nabi suruh Nabi s.a.w mendoakan laknat(berkemungkinan spt doa di atas) ke atas musuh…tapi Rasullulah menjawab “Sesungguhnya aku diutus untuk memberi rahmat..”..Jadi saya nak tanya…dari mana doa yang bengis ni datang??
Masyallah
Post a Comment