Dec 17, 2008

Antara Tahyatul Masjid Dengan Qabliyah

Seorang datang kemasjid ketika mendengar azan subuh di kumandangkan.
Apabila sampai dimasjid beliau hendak melaksanakan solat sunat tetapi
difikiran tertanya-tanya kerana pada ketika itu beliau boleh
melaksanakan 2 solat sunat iaitu sunat tahyatul masjid dan juga sunat
subuh(qabliah)... jika nak di buat kedua-dua sekali solat tersebut
masanya tak mengizinkan....
Persolannya: Mana lebih afdhal antara ke dua solat tersebut??

Jawapan:

(1)
Disunatkan mengerjakan sembahyang dua rakaat bagi orang yang memasukki masjid. Ia dinamakan dengan sembahyang Tahiyatul Masjid. Iaitu sembahyang menghormati masjid. Maksud menghormati di sini ialah mengagungkan tuan masjid itu (Allah Taala).
Sabda nabi s.a.w.:
"Apabila salah seorang dari kamu masuk ke masjid, maka jangan duduk sehingga dia bersembahyang dua rakaat." (Riwayat al-jamaah dari Abi Qatadah, dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)

Masuk ke masjid tanpa melaksanakan sembahyang Tahiyatul Masjid adalah makruh.

Kesunnahan melaksanakan solat Tahiyatul Masjid akan luput dengan duduk yang lama, atau duduk sekejap dalam keadaan dia tidak lupa dan tahu tentang kesunnahannya.

(2)
Mengenai soalan saudara, saya nukilkan dari kitab jawi klasik Furu' Masa'il, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (vol.1 hal. 93). Saya terjemahkan secara bebas:
Soal: Adakah mendapat fadilat tahiyatul Masjid dengan mengerjakan sembahyang fardu atau sembahyang sunat qabliyah Subuh atau Zohor? Apakah ketika mengerjakan sembahyang fardu atau sunat qabliyah itu perlu diniatkan kedua-duanya - Niat sembahyang fardu/qabliyah dan niat sembahyang Tahiyatul Masjid? Ataupun tak perlu niat, hanya niat sembahyang fardu/qabliyah sahaja untuk mendapatkan fadilat Tahiyatul Masjid?

Jawab: Untuk mendapatkan fadilat Tahiyatul Masjid, tidak perlu berniat tahiyatul masjid ketika mengerjakan sembahyang fardu/qabliyah. Inilah pendapat yang muktamad.

Begini, dalam kes yang saudara hadapi, saudara tidak perlu mengerjakan sembahyang Tahiyatul Masjid. Memadai dengan mengerjakan sembahyang qabliyah Subuh. Dengan mengerjakannya, saudara akan memperoleh fadilat Tahiyatul Masjid.

Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan:
"Mengerjakan sembahyang fardu atau lainnya (sembahyang sunat), dapat menggantikan sembahyang Tahiyatul Masjid. Dan, tak perlu niat Tahiyatul Masjid."

"Barangsiapa yang tidak dapat mengerjakan sembahyang Tahiyatul Masjid kerana hadas atau lain-lain sebab, dia disunatkan mengucapkan empat tasbih berikut: Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar."

aL-AHKAM online.

Wallahu a'lam.

Rujukan
1. Mughni al-Muhtaj - vol 1, Muhamad al-Khatib al-Syarbini
2. Feqhul Islami Wa adillatuhu - vol 2, Dr. Wahbah al-Zuhaili
3. Furu' Masa'il - vol 1, Syeikh Daud Abdullah al-Fathani
4. I'anah al-Thalibin - vol 1, Syed Muhamad Syatho al-Dimyathi.

0 comments:

Post a Comment