Jan 24, 2009

Masbuk Bangun Melengkapkan Rakaat

Salam ,

Bila kita tertinggal rakaat dalam sembahyang berjemaah, apabila imam beri salam kita akan bangun untuk sambung rakaat yang tertinggal.

Saya perhati ada 2 gaya yang bangun sambung rakaat itu:

Kumpulan 1: Sebaik saja imam beri salam yang pertama, merekapun bangun.

Kumpulan 2: Mereka tunggu imam habiskan salam yang kedua baru mereka bangun.

Soalan saya, mana satukah yang sah dan patut dibuat? Adakah kedua-dua cara itu sah? Minta beri dalil.

Shukran.

*************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan zwink dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Memberi salam didalam solat menandakan solat telah tamat. Sabda Nabi saw :-

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم
"Kunci solat adalah bersuci, tahrimNya (mula) adalah takbir dan tahlilNya (tamat) ialah salam" [Hadith dikeluarkan oleh al-Sunnan].

2 keadaan diatas menunjukkan samada satu atau dua salam mencukupi didalam solat. Perkara ini merupakan khilaf dikalangan empat Mazhab. Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki mengatakan satu salam mencukupi, manakala yang mengatakan perlu 2 salam adalah Mazhab Hanbali (fardu) dan Mazhab Hanafi (wajib).

Berikut adalah diantara dalil2 nya:

a. Satu salam

Dari A'isyah ra. bekata bahawa

كان رسول صلى الله عليه وسلم يسلم تسليمة واحدة تلقاء وجهه.
"Rasulullah saw memberi salam satu kali sahaja menghala kehadapannya" [Hadith Riwayat Ibn Majah]

Dari Salamah bin al-Akwa' berkata :-

رأيت رسول صلى الله عليه وسلم فسلم تسليمة واحدة
"Aku melihat Rasulullah saw memberi salam satu kali sahaja" [Hadith Riwayat Ibn Majah]

b. Dua (2) salam

كان يسلم عن يمينه ويساره «السلام عليكم ورحمة الله السلام عليكم ورحمةالله» حتى يرى بياض خده
"Nabi saw memberi salam kekanan dan kekiri "Assalamu'alaikum warahmatullah,Assalamu'alaikum warahmatullah" sehingga melihat pipinya yang putih" [Hadith riwayat Ahmad 1/390, Muslim 2/91, Abu Daud # 996, al-Nasaai 1/195, al-Tirmudzi 2/89, Ibn Maajah #914 dll.]

Dari 'Amar bin Saed dari bapanya, berkata :

كنت أرى النبي سلم عن يمينه وعن يساره حتى يرى بياض خد
"Aku telah melihat bahawa Nabi saw memberi salam sebelah kananNya dan kiriNya sehingga kelihatan pipinya yang putih" [Hadith riwayat Ahmad, Muslim, al-Nasaai dan Ibn Maajah].

---------------
Mana yang lebih sahih? Perkara ini dilihat kepada hadith mana yang lebih sahih. al-Syawkani rh. mengatakan bahawa hadith yang menyatakan 2 salam pendapat yang lebih benar kerana statusnya adanya Sahih dan ada yang Hasan. Manakala hadith yang mengatakan 1 salam cuma bertaraf Dhaif (lemah) [al-Lajnah al-Daa'imah, 7/69, fatwa no:2294].

Menurut Ibn Baaz rh :

ذهب الجمهور من أهل العلم إلى أن التسليمة الواحدة كافية لأنه قد ورد في بعض الأحاديث ما يدل على ذلك ، وذهب جمع من أهل العلم إلى أنه لا بد من تسليمتين لثبوت الأحاديث عن النبي صلى الله عليه وسلم بذلك ، ولقوله : (صلوا كما رأيتموني أصلي) رواه البخاري في صحيحه . وهذا القول هو الصواب .
والقول بإجزاء التسليمة الواحدة ضعيف لضعف الأحاديث الواردة في ذلك ، وعدم صراحتها في المطلوب ، ولو صحت لكانت شاذة لأنها قد خالفت ما هو أصح منها وأثبت وأصرح ، لكن من فعل ذلك – يعني : سلم تسليمة واحدة - جاهلاً أو معتقداً لصحة الأحاديث في ذلك فصلاته صحيحة .
"Jumhur ulama mengatakan bahwa satu salam memadai kerana terdapat dalil dari beberapa hadith. Akan tetapi, beberapa kumpulan ulama' menyatakan bahawa 2 salam adalah perlu kerana lebih tepat hadith2 dari Nabi saw yang membuktikan begitu, dan kerana sabda Nabi saw 'Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat' [Hadith Sahih al-Bukari]. Pandangan ini lebih benar.

Pandangan 1 salam adalah memadai adalah lemah, disebabkan hadith2 yang diriwayatkan itu Dhaif (lemah), dan terdapat keraguan didalam riwayat2. Jika terdapat yang sahih maka ia adalah shaaz, kerana bertentangan dengan hadith2 yang sahih, lebih benar dan lebih jelas. Akan tetapi bagi mereka yang melakukan ini : iaitu 1 salam, kerana jahil atau mempercayai bahawa hadith2 tersebut sahih, solatnya masih sah" [Tuhfat al-Ikhwaan, ms. 112].

Kesimpulan, menunggu salam yang kedua lebih benar pandangannya.

WA, wassalam.

0 comments:

Post a Comment