Dec 18, 2008

Laungan Takbir Lepas Solat Jemaah

Salam

Saya terpanggil utk membangkitkan isu ini. Di kala masyarakat masih keliru dengan mana yg sunnah dan mana yg bid'ah, berikut berleluasanya amalan2 yg ditokok tambah dgn pelbagai tujuan sekadar dengan berdalihkan nas-nas yg dijustifikasikan utk membenarkan amalan dengan sebab menyiyakan perbuatan kelompok atau peribadi tertentu.

Saya ingin membangkitkan ttg masalah ttg amalan yg nampak kurang sesuai dgn budaya Islam yg suci murni, bahkan menampakkan keekstrimeman, melebih-lebih, keterlaluan iaitu melaungkan takbir "ALLAHU AKBAR!" secara lantang dengan pekikan kuat sebaik saja selesai waktu solat berjemaah di sebahagian kecil surau di negara ini. Saya sendiri pernah mendengarnya dan dapat merasakan bagaimana suasananya.

Apakah dalil yg diguna pakai untuk membenarkan amalan ini? Bukankah Kullu bid'atin dholalah wa kullu dholalatin finnar.

Saya timbulkan ini kerana ada sebahagian kenalan yg begitu fanatik menganggap ini sebagai sunnah yg sangat baik diikuti bahkan boleh sampai wajib kononnya. Saya harapkan perbincangan dibuat secara ilmiah, janganlah keterlaluan atau beremosi apabila dibangkitkan isu ini.

Wallahu'alam

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr FloydAbdullah dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Benar kata sdr FloydAbdullah, hadith 'Setiap perkara yang baru itu bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat.....'. Hadith ini hadith shahih, dan ia tidak boleh dinafikan kebenarannya. Cuma pokok persoalannya sekarang ialah, SKOP definisi Bid'ah yang di maksudkan oleh ulama'-ulama' didalam hal ini. Kemudian, barulah kita nyatakan apakah melaungkan TAKBIR secara kuat iatu bid'ah hukumnya.

Sabda Nabi saw :

كلّ محدثة بدعة وكلّ بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار

"Setiap perkara yang baru itu bid'ah, setiap bid'ah itu Sesat, dan setiap yang sesat itu akan masuk kedalam Api Neraka" - (Diriwayatkan oleh Al-Nassa'i didalam Al-Sunan. Riwayat yang mempunyai makna yang sama diriwayatkan melalui Jabir (r.a.), oleh Ahmad, melali al-'Irbaad ibn Saariyah, oleh Abu Daud, dan melalui Ibnu Mas'ud (r.a.) oleh Ibnu Majah).

Dan bersabda Nabi saw lagi didalam Khutbah beliau :

أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ ..

"..Sebaik-baik perkataan adalah dari Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara ialah rekaan-rekaan yang baru, dan setiap bid'ah (rekaaan) adalah Sesat...." - (Riwayat Imam Muslim #867).

Nabi Muhammad saw menyatakan bahawa barangsiapa yang mereka-reka sesuatu yang baru didalam urusan AGAMA, maka amalannya akan tertolak, dan Allah swt tidak akan menerimanya, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh A'isyah (r.h), katanya :

: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ .

"Rasulullah saw bersabda : 'Barangsiapa yang mengadakan sesuatu perkara soal agama yang bukan dari kami, maka ia akan di tolak'" - (Riwayat Al-Bukhaari, Fath al-baari #2697).

---------------

Kemudian kita lihat pula, apakah Bertakbir selepas solat itu bid'ah? Ibadat solat bermula dari cara-cara sebelum SOLAT sehinggalah zikir-zikir dan Solat-Solat Sunat yang dilakukan oleh Nabi saw yang Thabit dengan nas-nas yang shahih. Sebab itu ulama'-ulama' Itttiba' Al-Sunnah menolak amalan Lafaz Niat sebelum Solat, kerana tidak ada nas, dan ini masih didalam skop permulaaan Solat. Malah ulama'-ulama' Salaf mengatakan berdosa apabila selepas selesai Solat terus bangun, kerana terdapat nas-nas yang shahih menunjukkan Nabi saw melakukan beberapa amalan-amalan zikir yang khusus selepas Solat Fardu! Akan tetapi, pergerakan BANGUN selepas selesai melakukan amalan-amalan ini, tidak dikira berdosa. Begitu perbuatan berjabat tangan selepas selesai memberi Salam didalam Solat. Sila lihat perbincangan di bawah :

Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa amalan solat setelah selesai memberi salam didalam solat adalah bid'ah. Masih banyak lagi nas-nas yang sahih menunjukkan ada beberapa amalan-amalan lain yang perlu dilakukan selepas selesai solat fardu. Berjabat tangan selepas selesai segala-gala amalan yang berkaitan dengan solat, tidaklah bid'ah, kerana ia tidak termasuk SKOP IBADAT yang kita bincangkan tadi. Adalah merupakan Bid'ah berjabat tangan, bangun dari tempat duduk, sejurus selepas memberi salam.... Tidak bid'ah melakukan perkara-perkara tersebut setelah selesai melakukan perkara-perkara yang disyara'kan kerana ia tidak lagi bersifat ibadat.

Terdapat nas-nas shahih yang thabit dari Nabi saw agar umat Islam melakukan zikir-zikir khusus selepas selesai solat fardu. Diantara yang boleh kita petik dari Fatwa Sheikh Abdul Aziz bin Baaz (majmu' fatawa, 4/207)[1]:

ثم يسلم عن يمينه وشماله، قائلا: "السلام عليكم ورحمة الله... السلام عليكم ورحمة الله".
- ويستغفر الله ثلاثاً ويقول: "اللهم أنت السلام، ومنك السلام، تباركت يا ذا الجلال والإكرام، لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير، اللهم لا مانع لما أعطيت، ولا معطي لما منعت، ولا ينفع ذا الجد منك الجد، لا حول ولا قوة إلا بالله، لا إله إلا الله، ولا نعبد إلا إياه، له النعمة وله الفضل وله الثناء الحسن، لا إله إلا الله، مخلصين له الدين ولو كره الكافرون".
- ويسبح الله ثلاثا وثلاثين ويحمده مثل ذلك، ويكبره مثل ذلك، ويقول تمام المائة " لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كل شيء قدير "ويقرأ آية الكرسي، وقل هو الله أحد، وقل أعوذ برب الفلق، وقل أعوذ برب الناس بعد كل صلاة. ويستحب تكرار هذه السور الثلاث، ثلاث مرات بعد صلاة الفجر، وصلاة المغرب، لورود الحديث الصحيح بذلك عن النبي ،

"...kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri 'Assalamu'alaikum warahmatullah...Assalamu'alaikum warahmatullah, dan beristigfar sebanyak 3 kali, lalu membaca ;"Allahumma antassalam..........La illaha illaalahu wahdahu La Syariikalah.....dan bertasbih sebanyak 33kali, bertahmid sebanyak 33kali, dan bertakbir sebagaimana misal tadi, dan mencukupkan 100 dengan membaca 'La illaha illaalahu wahdahu La Syariikalah....' dan membaca ayat Al-Kursi, surah Al-Falaq, surah Al-Nas, bagi setiap kali selepas solat. Adalah mustahab mengulangi sebanyak 3 kali pembacaan surah tersebut, 3 kali didalam solat Subuh dan solat Magrib, kerana ia warid dari nabi saw didalam hadith shahih..."

Apakah bi'dah berTakbir selepas selesai solat?

Jawapan : Sejurus selepas bersolat jemaah, para jemaah melakukan takbir beramai-ramai adalah bid'ah. Ini adalah kerana :

a. Terdapat nas yang thabit dari Nabi saw yang menyuruh orang Islam membaca zikir-zikir yang tertentu didalam solat, terutamanya secara bersendirian.

b. Bertakbir secara KUAT itu akan mengganggu orang-orang yang sedang bersolat di Rumah ALLAH.

Selepas selesai melakukan perkara yang dituntut, perbuatan Takbir ialah merupakan satu ZIKIR yang agung bagi mengingati Allah swt. Malah, jika dilhat didalam amalan-amalan yang shahih yang sunat dilakukan selepas selesai solat ialah menyebut takbir (Allahu Akhbar) 33 kali.

Sebagai tambahan, apabila seorang Islam itu mendengar seseuatu yang mengembirakan, dia benarkan melaungkannya,
sebagamana yang diperkatakan oleh Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid :

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا رأى شيئا يعجبه قال : " الله أكبر اللهم لا عيش إلا عيش الآخرة " رواه أحمد . فيجوز حينئذ أن يكبر المرء إذا رأى ما يفرحه ويعجبه ويرفع صوته بذلك من غير مبالغة ، أما التكبير الجماعي بحيث يبدءون وينتهون جميعا فغير مشروع لعدم ورود ما يدل على ذلك ، لكن إذا كبر شخص وكبر آخر وكبر آخر فتوافقوا من غير اتفاق سابق فهذا غير منهي عنه . وكذلك يُمكن أن يسجدوا للشكر إذا كان أمرا هاما

"Apabila Nabi saw mendengar sesuatu yang mengembirakan beliau akan mengucapkan :'Allaahu akbar, Allaahumma la ‘aysha ila ‘aysh al-aakhirah. (Riwayat Imam Ahmad). maka diberi kebenaran bagi seseorang itu mengucapkan Allahu Akbar apabila melihat sesuatu yang melegakan, dan boleh menaikkan suara, tanpa menjadi eksterim. Akan tetapi, mengucapkan Takbir secara berjemaah, tidak pula dinyatakan didalam Islam, kerana tiada riwayat yang melaporkannya. Tetapi jika seseorang mengucap takbir, kemudian diikuti oleh orang lain, dan berkebetulan pada waktu yang sama mengucapkannya, tanpa apa-apa perjanjian sebelum ini, maka tidaklah salah. Mereka juga boleh melakukan sujud al-shuykr jiga perkara tersebut lebih serius."[2]

Sebagai kesimpulan, eloklah di elakkan dari melakukan sesuatu perkara walaupun ia baik didalam hal-hal ibadat. Ibadat-Ibadat didalam Islam telah dilengkapkan oleh Nabi saw, dan tidak boleh ditokok tambah sebagaimana larangan-larangan yang keras didalam hadith tersebut. Walaubagaimanapun, zikir takbir yang tidak dilakukan sejurus selepas selesai solat bukanlah bid'ah. Kita kena dahulukan amalan-amalan yang thabit dari Nabi saw dari permulaan Solat sehinggalah selesai perkara-perkara yang sunat didalam solat. Dimasa yang sama, konsep bid'ah ini, perlu dilihat didalam perspektif yang lebih luas. Jangan mudah kita membid'ahkan sesuatu perkara, yang perkara tersebut jelas bukannya ibadat. Nanti akan ada pertanyaan-pertanyaan yang bukan-bukan seperti : Bila nak baca do'a naik kenderaan ini? Kena duduk ke? Kena kereta bergerak dulu ke? Mana nasnya? Bila pula nak baca selawat? Nak kena duduk ke, atau boleh ke baca sambil berdiri? Dimana kesemua ini dilihat sebagai ibadat umum yang berbentuk do'a dan zikir kepada Allah swt.

Sebelum kita mengakhiri permasalahan ini, elok kita lihat dua kaedah yang boleh kita guna pakai didalam kehidupan harian.

a. Didalam perkara-perkara Ibadat:

الأصل في العبادات التوقف

al asl fi al-ibadaat al-tauqif
"Asal sesuatu ibadat itu diberhentikan"

Ini membawa pergertian bahawa, setiap ibadat itu hanya boleh dilakukan jika ia disertakan dengan nas-nas. Jika tidak, maka ia boleh dikategorikan sebagai bid'ah dan dilarang dari melakukan.

b. Didalam perkara-perkara yang bukan ibadat:

الأصل في الأشياء الإباحة

al asl fi al-asyyaa' al ibaahah
"Asal sesuatu perkara itu harus (dibenarkan)"

Dengan ertikata lain, perkara-perkara yang diluar ibadat adalah harus dilakukan, kecuali jika ada Nas atau dalil yang menegahkan, atau dalil yang menunjukkan kaedahnya.

wallahu'alam

-wassalam-
---------------

Rujukan :

1. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa Samaahah Al-Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz - 4. cetakan 1. Riyad : Dar Al-Watan, 1995. ms 247

2. Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid. Melaung Takbir di Masjid secara berjemaah. url : http://63.175.194.25/index.php?cs=prn&ln=ara&QR=3751&dgn=3&dgn=2

0 comments:

Post a Comment