Jan 19, 2009

Mufaraqah

1) Jika seseorang makmum ingin mufaraqah, adakah dia perlu keluar dari saf dan pergi ke belakang utk solat bersendirian?

2) Sekiranya makmum tersebut mufaraqah pd rakaat kedua, adakah rakaat pertama itu dikira atau tidak.

3) Diharap para panel dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana kaifiat utk mufaraqah. Adakah dgn niat saha kemudian terus bersolat sendirian spt biasa di dalam saf yg sama tanpa perlu mengikut imam?

4) Ada pendapat (ceramah di masjid) yg menyatakan hanya perlu niat mufaraqah dan tak perlu keluar saf dan ikut imam sehingga habis solat spt biasa krn tidak mahu timbul fitnah! Adakah ini shahih?

Jazakallah! Wassalam
_________________
wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan yg dikemukan oleh sdr Abdulrahman dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Mufaaraqah ialah berniat memutuskan solat bersama Imam dan menyempurnakan solat dengan bersendirian. Dalil hukum mufaaraqah ini datang dari sebuah hadith yang terdapat didalam hadith yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa :-

أن معاذا صلى بأصحابه العشاء، فطول عليهم، فانصرف رجل، فصلى، ثم أتى النبي صلى الله عليه وسلم، فأخبره بالقصة، فغضب وأنكر على معاذ، ولم ينكر على الرجال، ولم يأمره بالإعادة.

"Muaz bersolat Isya' bersama sahabatnya, lalu ia memanjangkan solat bersama mereka, kemudian seorang lelaki telah beredar, maka dia bersolat (bersendirian), kemudian ia datang kepada Nabi saw, dan mengkhabarkan kisah yg berlaku, kemudian baginda menjadi marah dan menyalahkan Muaz, dan baginda tidak menyalahkan lelaki tersebut, dan tidak memerintahkan lelaki tersebut mengulangi solatnya"

Sebagaimana yang dinyatakan oleh bekas Pengerusi Majlis fatwa al-Azhar, Sheikh Atiyah Saqr, diantara sebab-sebab mufaaraqah ialah kerana Imam membaca surah yang sangat panjang, penyakit, takut kehilangan duit atau kerosakkannya harta, atau kehilangan teman atau takut dikuasai tidur, atau masasalah yang sejenis dengannya.

Mufaaraqah dibolehkan didalam mazhab Syafie sama ada atas sebab uzur atau tanpa uzur, akan tetapi hukumnya makruh kerana solat tersebut dilakukan secara bersendirian, dimana Solat Jamaah hukumnya sangat-sangat dituntut (sunat mu'akkad). Mazhab Hanbali menyatakan hukumnya harus jika terdapat keuzuran. Mazhab Hanafi pula hanya membenarkan makmum memberi salam sebelum dari Imam memberi salam dan Mazhab Maliki tidak mengharuskan perbuatan mufaaraqah.

Q1 : Tidak perlu keluar saf. Apa yg perlu dilakukan ialah qasad niat mufaaraqah dan teruskan solat bersendirian ditempat tersebut.

Q2 : Rakaat bersama Imam pada rakaat pertama dikira sah, makmum hanya perlu menyambung rakaat yang tertinggal. Dalil hadith diatas menunjukkan bahawa lelaki tersebut tidak mencerita Nabi saw memerintahkan menambah bilangan rakaat.

Q3 : Benar, mufaaraqah hanya memerlukan niat untuk memutuskan dari mengikut(qudwah) Imam, dan meneruskan bilangan rakaat yang berbaki secara bersendirian.

Q4: Soalan : Kenapa hendak bermufaaraqah tetapi masih mengikut Imam sampai habis solat? Mufaaraqah dilakukan apabila terdapat keperluan, misalnya takut tertinggal bas, kenderaan atau kawan semasa berada didalam permusafiran. Tujuan mufaaraqah ialah untuk mengejar kenderaan tersebut, mengapa perlu kita tunggu lagi? Nas diatas menunjukkan lelaki diatas ini mempunyai kerja yg mustahak yg hendak dilakukan, lalu beliau mufaaraqah dan beredar dari tempat tersebut. Contoh lagi :- jika seseorang itu berada didalam keadaan yang sangat mengantuk, lalu ia bermufaaraqah, maka dia akan menyelesaikan solat bersendirian dengan cara yg ringkas didalam situasi Imam membaca surah yg terlalu panjang. Tujuan mufaaraqah tersebut ialah kerana terdapat keuzuran.

Apa yang kita lihat dewasa ini ialah banyak jemaah (makmum) yang bermufaaraqah disebabkan Imam tersebut tidak sama aliran dengan mereka. Contohnya, mungkin fikrah Imam tersebut berlainan. Untuk mengelakkan dari berlakunya fitnah perpecahan kaum, maka mereka akan melakukan mufaaraqah, tetapi masih bersolat menurut pergerakan Imam.

Apakah boleh bersolat dibelakang Imam-Imam yang sebegini? Salah satu sebab yang membolehkan memutuskan qudwah dengan Imam ialah Imam melakukan kesalahan besar didalam pembacaan ayat Al-Quran. Iaitu kesalahan membaca ayat-ayat tersebut telah mengubah maknanya. Didalam keadaan begini makmum dibolehkan memutuskan (mufaaraqah) bersolat dgn Imam.

Jika terdapatnya perbezaan fikrah, misalnya, tidak berpegang kpd pendapat Imam yg membaca do'a Qunut semasa solat Subuh, tidak setuju dengan Imam membaca Do'a selepas solat dan mengaminkannya secara Jemaah, sebab-sebab ini tidak memungkinkan seorang makmum itu memutuskan solat dengan Imam. Contoh yang terbaik ialah Umat Islam dimasa zaman Al-Hajjaj Bin Yusuf Bin al-Hakam al-Tsaqafi menjadi Gabenor Khalifah Umawiyah, walaupun beliau seorang yg zalim, akan tetapi mereka masih bersolat berimamkan beliau. Hanya jika Imam tersebut terlibat didalam melakukan kekufuran secara terang-terangan, menganut fahaman Syiah, Murji'ah dsb, maka hendaklah kita mufaaraqah dengan Imam yang berfahaman demikian, kerana Solat dibelakang orang yg melakukan syirik adalah tidak sah hukumnya. Menurut fatwa Al-Lajnah Al-Daaimah Arab Saudi :-

وأما الصلاة خلف المبتدعة : فإن كانت بدعتهم شركية كدعائهم غير الله ونذرهم لغير الله واعتقادهم في مشايخهم ما لا يكون إلا لله من كمال العلم أو العلم بالمغيبات أو التأثير في الكونيات : فلا تصح الصلاة خلفهم، وإن كانت بدعتهم غير شركية ؛ كالذكر بما أثر عن النبي صلى الله عليه وسلم ، ولكن مع الاجتماع والترنحات : فالصلاة وراءهم صحيحة

"Mengenai bersolat dibelakang Ahli Bid'ah : Jika perbuatan bid'ah mereka membawa kepada mensyirikkan Allah, seperti menyeru (berdo'a) kpd sesuatu yg selain dari Allah, bersumpah dengan selain dari Allah, beri'tiqad bahawa syiekh mereka memiliki sifat kepunyaan Allah - seperti memiliki Ilmu yg lengkap, Ilmu alam ghaib atau kuasa yang mempengaruhi sesuatu peristiwa - maka solat dibelakang mereka tidak sah. Jika bid'ah mereka tidak membawa kepada kesyirikan, seperti melakukan zikir yg thabit dari Nabi saw tetapi dengan cara membaca berjemaah dan bergoyang-goyang : maka solat dibelakang mereka adalah sah." - [Al-Lajnah Al-Daaimah 7/353]

Kesimpulan : mufaaraqah merupakan satu kaedah keluar dari mengikuti Imam dan menghabiskan baki solat tersebut secara sendirian. Biasanya mufaaraqah dilakukan apabila makmum mempunyai keuzuran dan Imam bersolat dengan jangka yg panjang. Mufaaraqah juga dilakukan jika Imam melakukan kesalahan yang terang (menambah bilangan rakaat, atau kesalahan bacaan yang boleh mengubah makna). Jika hanya kesalahan kecil seperti kesilapan teknikal didalam Tajwid yg tidak mengubah makna ayat, maka tidak perlu mufaaraqah dari Imam. Adalah wajar diberi perhatian bahawa Imam yang tidak sama haluan dengan makmum tidak harus makmum bermufaaraqah darinya, melainkan dengan terang-terang Imam itu melakukan syirik kepada Allah swt. Wallahu'alam.

Wassalam.

===========
Rujukan :

1. Dr Wahbah Zuhaily. Al-Fiqh Al-Islami wa'adilatuhu - 2. cetakan ke 3. Beirut : Dar Al-Fikr, 1989. ms 208.

2. Shiekh Atiyah Saqr. حكم مفارقة الإمام url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=42742

3. Al-Lajnah al-Daa’imah li’l-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa’l-Ifta’ - 7. Cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu'ayyad, 2000. ms 353

0 comments:

Post a Comment