Jan 19, 2009

Duduk Tasyahud Solat Tarawih

Salam

Duduk seperti duduk antara dua sujud dan duduk tasyahud semasa membaca tahiyyat akhir pada solat taraweh, yang manakah lebih afdhal. Ada orang yang selang selikan akan cara duduk ini antara rakaat kedua dan rakaat keempat dan seterusnya. Apakah ada dalil mengenai perbuatan ini.

Wassalam

**********
Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr anaksoleh dengan kadar kemampuan yang ada, insyaallah.

Duduk pada tasyahud akhir didalam solat sunat dan solat wajib kedudukannya adalah sama sahaja. Terdapat 2 jenis duduk tashahud :-

1. Al-Iftiraasy (الافتراش) - Duduk dengan menegakkan kaki kanan, dan duduk atas kaki kiri, tangan kanan diletakkan di atas peha kanan dengan menggenggam semua jari kecuali jari telujuk untuk berisyarat.[Majmu' Fataawa Abd Aziz bin Baaz 4/210]

2. Al-Tawarruk (التورك) - Duduk dengan meletakkan tapak kaki kiri di bawah betis kaki kanan dan kemudian mendudukkan punggung di atas tanah, sedangkan kaki kanan tegak, berdasarkan hadits yang bersumber dari Abu Humaid. [Majmu' Fataawa Abd Aziz bin Baaz 4/211-212]

Panduan yang telah diberikan oleh ulama' ialah, jika solat tersebut 2 rakaat, maka adalah afdal duduk al-Iftiraasy sebagaimana yang dinyatakan oleh Syiekh Abdul Aziz bin Baaz dan Syeikh Nasyiruddin Al-Albani :-

(a)Bin Baaz :-

إذا كانت الصلاة ثنائية أي ركعتين كصلاة الفجر والجمعة والعيد جلس بعد رفعه من السجدة الثانية ناصبا رجله اليمنى مفترشا رجله اليسرى

"Jika solat itu adalah solat dua rakaat, seperti Subuh, Juma'at dan Eid, maka duduk iftirasy setelah bangkit dari sujud kedua, iaitu dengan menegakkan kaki kanan, dan duduk diatas kaki kiri" - [Majmu' Fataawa Abd Aziz bin Baaz 4/210]

(b) Al-Albani :-

فإذا كانت الصلاة ركعتين كالصبح، (( جلس مفترشا ))[1] كما كان يجلس بين السجدتين، وكذلك (( يجلس في التشهد الأول ))[2] من الثلاثية أو الرباعية.

"..Maka jika Solat itu 2 rakaat seperi subuh, "Duduk secara iftiraasy"[1], sebagaimana duduk diantara 2 sujud, dan begitulah "duduk didalam tashahud awal"[2] didalam Solat yang mempunyai 3 rakaat atau 4 rakaat".[Sifat Solat Nabi, ms 156].
-------------
[1] Al-Nasaa'i (1/173), dengan sanad sahih
[2] Al-Bukhari dan Abu Daud.

Walaubagaimanapun jika seseorang itu bersolat Subuh atau Eid pada tashahud akhirnya duduk secara Al-Tawarruk, maka ia tidaklah membatalkan solat sebagaimana yang dinyatakan oleh Sheikh Abu Ubidah Masyhur bin Hassan bahawa :-

وإن كان فعله وتركه غير مخلّ ٍ بصحة الصّلاة ، لكن العمل بالسنّة أفضل

"Jika ia meninggalkan perbuatan tersebut (cara duduk al-Iftiraasy) tidaklah melalaikan (neglectful), Solatnya sah, akan tetapi tidaklah mengikut amalan sunat yang afdal, " -[Qaul Al-Mubin, bahagian 8/22].

Kesimpulannya ialah duduk yang paling afdal bagi solat yang 2 rakaat samada solat sunat (seperti Tarawih, Sunat Qabliyah, ba'diyah, Dhuha, Eid dsb) atau wajib (Solat Subuh, Solat Jumaat) ialah duduk Al-Iftiraasy, sebagaimana duduk diantara 2 sujud, iaitu kaki kanan menegak dan duduk diatas kaki kiri. Wallahu'alam.

Wassalam
===========
Rujukan :

1. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Baaz. Majmu' Fatawa Samaahah Al-Sheikh Abdul Aziz Bin Baaz - 4. cetakan 1. Riyad : Dar Al-Watan, 1995.

2.. Shiekh Nasyiruddin Al-Albani. Sifat Solat Al-Nabi saw. cetakan ke2 dari cetakan baru. Riyad : Maktabah Al-Ma'arif, 1996.

3. Shiekh Abu Ubidah Masyhur Hasan Sulaiman. Al-Qaul Al-Mubin fi Akhthaa' Al-Mushalliin. cetakan ke 4. Dammaam : Dar Ibn Qayyim, 1996.

0 comments:

Post a Comment