Jun 25, 2009

Tarawih 8 Rakaat 2 Salam

Assalamualaikum w.b.t

Kami pelajar malaysia di indonesia keliru tentang solat terawih yang diadakan di sini. Mereka membuatnya 4 rakaat dan salam. (2 kali)

Soalannya ialah:

1. Bolehkan berbuat begitu?

soalan-soalan off topic.

Di sini kedai makan ada menjual makanan yang agak 'lain macam'. tetapi bila ditanya mereka kata halal. Jadi macam mana ye? Boleh atau tidak nak makan?

-------------------------------------------------------

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Kemungkinan mereka mengambil zahir hadis Aisyah r.a.

ما كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة يصلي أربعا فلا تسل عن حسنهن وطولهن ثم يصلي أربعا فلا تسل عن حسنهن وطولهن ثم يصلي ثلاثا

Maksudnya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada bulan Ramadhan dan bulan lain, tidak pernah melebihi sebelas rakaat. Baginda bersolat empat rakaat, jangan persoalkan tentang panjang dan eloknya ia. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan persoalkan tentang elok dan panjangnya ia. Kemudian baginda bersolat tiga rakaat.
Direkod oleh Bukhari (no: 1096) dan Muslim (no: 738).

Walaubagimanapun, pemahaman yang tepat bagi hadis ini -Wallahu A'lam- ialah baginda bersolat secara dua rakaat dua rakaat. CUma selepas empat rakaat (dengan dua salam) baginda berehat agak lama, kemudian menyambung lagi empat rakaat (dua salam). Kemudian, baginda berhenti agak lama sebelum membuat witir tiga rakaat.


Kata Ibn Khuzaimah: "Khabar Aisyah bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersolat empat rakaat, ialah dengan dua salam bukan dengan satu salam". (Sahih Ibn Khuzaimah 2/215)

Ini berdasarkan kepada:

Hadis umum tentang kaifiat solat malam iaitu hadis Ibn Umar, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Sembahyang malam dua rakaat dua rakaat". (Direkod Bukhari no: 946 dan Muslim no: 749).

Kata Ibn Batthal, "Hadis ini menafsirkan hadis Aisyah bahawa baginda bersolat empat rakaat".

Jika dilakukan secara empat rakaat satu salam, kata Imam Nawawi: Tidak sah kerana ia bersalahan dengan yang dimasyru'kan. (Majmuk 4/32)

Wallahu A'lam.

0 comments:

Post a Comment