Jan 19, 2009

Azan Pada Solat Hari Raya

Salam

Sesetengah ustaz dan ulamak di Malaysia ini mengatakan ada bidaah hasanah dalam soal ibadat. Contohnya seperti tahlil kematian selama 3 hari, 7 hari dan sebagainya. Ini kerana tahlil itu ada asas dalam ibadat dan tidak salah berkumpul beramai-ramai di rumah si mati bertahlil dan berdoa untuknya walaupun ianya tak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. , sahabat2 dan para imam2 mazhab. Pokoknya ianya perkara yg baik. Lagi pun kata mereka, tiada hadith Nabi s.a.w. melarang perkara ini. Satu lagi kata mereka, apa yg baik (soal ibadat) pada pandangan masyarakat, akan dipandang baik juga oleh agama.

Bersandarkan kepada alasan di atas, bolehkah kita melaungkan azan sebelum sembahyang hari raya atau sembahyang jenazah. Azan adalah perkara baik yang menandakan panggilan solat. Lagi pun tiada hadith Nabi s.a.w melarang azan sebelum solat hari raya dan solat jenazah. Bolehkah ini dikategorikan bidaah hasanah?

Harap dapan jawapan dari pihak panel.

Terima kasih.

Wassalam

*******************
wa'alaikumussalam. Ramadhan Mubarak!

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab persoalan sdr oghe_kelate dari Ipoh dengan kadar kemampuan yang ada.

Terima kasih Ustaz Zayed. Kamin akan menyentuh secara umum sahaja mengenai isu ini. Bab bid'ah hasanah dan bid'ah sai'ah (buruk) ini kami kira tidak perlu dipanjangkan lagi perbicaraannya. Memang kebanyakkan yang mendokong perbuatan bid'ah hasanah akan mengatakan, penambahan yang mereka buat itu baik walaupun Nabi tak buat. Bagi yang mengatakan semua bid'ah yang menyentuh ibadat itu sesat berdasarkan kepada hadith Nabi saw, diantara sabda beliau adalah:-

كلّ محدثة بدعة وكلّ بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار

"Setiap perkara yang baru itu bid'ah, setiap bid'ah itu Sesat, dan setiap yang sesat itu akan masuk kedalam Api Neraka" - (Diriwayatkan oleh Al-Nassa'i didalam Al-Sunan. Riwayat yang mempunyai makna yang sama diriwayatkan melalui Jabir (r.a.), oleh Ahmad, melali al-'Irbaad ibn Saariyah, oleh Abu Daud, dan melalui Ibnu Mas'ud (r.a.) oleh Ibnu Majah).

Dari segi bahasa, bid'ah ini membawa erti INOVASI atau RekaCipta. Sebenarnya jika lihat skop BID'AH yang lebih luas, daripada kita tumpukan perhatian melakukan inovasi keatas ibadat yang sedia ada, elok lagi kita tumpukan kepada bid'ah-bid'ah yang menguntungkan masyarakat. Bid'ah atau Inovasi ini perlu bagi mempertingkat masyarakat Islam. Research and development keatas hal-hal dunia amat diperlukan bagi mempertahankan maruah dan kemuliaan Islam. Islam cuma mengharamkan BID'AH didalam ibadat!! Hal-Hal dunia, digalakkan melakukan bid'ah atau inovasi. Didalam hal ibadat, kreativiti tidak diperlukan! Kenapa? Kerana ibadat itu sudah cukup dan sempurna apabila Nabi saw meninggalkan kita 1400 tahun yang lalu.

Mungkin ada yang bertanya, seperti yang saudara keutarakan, NABI TAK LARANG PUN. Islam membezakan antara perkara ibadat dan bukan ibadat. Kita ulangi kembali kedua-kedua perbezaan prinsip ini:-

(1) Ibadat khusus

الأصل في العبادات التوقف
"Asal sesuatu ibadat itu diberhentikan".

Maknanya, setiap perkara yang dilakukan didalam ibadat mesti ada dalil! Jika tidak ada dalil, hukumnya adalah terhenti = dilarang. Adalah menjadi sunnah untuk kita meninggalkan apa yang Nabi saw tidak buat didalam soal-soal ibadat. Contoh yg sdr bawa seperti azan untuk solat eid, Nabi saw tidak melakukan, maka adalah menjadi sunnah untuk kita tidak melakukannya, dengan alasan setiap ibadat mesti ada dalil, kalau tidak ia terhenti disitu!

Segala ibadat yang telah dilakukan oleh Nabi saw, adalah menjadi sunnah untuk mengekalnya sebagaimana sedia adanya. Ibadat mesti bersifat original atau authentik. Ia tidak boleh ditokok tambahkan. Ibnu Mas'ud berkata :-

اتبعوا ولا تبدعوا، فقد كفيتم عليكم بالأمر العتيق

"Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu - perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"

(2) Bukan ibadat khusus

الأصل في الأشياء الإباحة

"Asal sesuatu perkara itu harus (dibenarkan)"

Maknya, setiap perkara yang bukan ibadat khusus adalah HARUS hukumnya kecuali terdapat nas yang melarangnya. Sebagai contoh, Minum air sirap, Milo, nescafe dibenarkan tanpa dalil dari Al-Quran atau pun hadith, kecuali ada pengharaman, seperti ARAK.
----------------------

Maka, azan untuk memanggil solat eid dan juga solat jenazah adalah suatu Bid'ah yang terlarang didalam Islam. Ini adalah kerana Azan merupakan sebahagian dari pakej sunnah didalam Solat 5 waktu (termasuk Solat Jumaat). Selain dari solat ini, Azan tidak disyara'kan, kerana tidak ada contoh dari Nabi saw. Azan dan Iqamat merupakan sebahagian dari ibadat-ibadat sunat yang dilakukan sebelum dimulakan ibadat Solat, maka segala tindak-tanduknya mesti berdasarkan dalil. Samalah juga solat-solat yang lain, seperti Solat Naafil (sunat) seperti Duha, Qiam Ramadhan (Taraawih), Solat Ba'diyah, Solat Qabliyah, Solat Istisqa' dsb yang tidak disyara'kan azan sebelum melakukannya Solat tersebut.

Contoh bid'ah hasanah (inovasi yang tidak menyentuh ibadat khusus) yang dibenarkan seperti :- pada hari Eid pergi ke masjid dengan kereta, kalau dulu naik Unta, pergi ke Mekah dengan kapal terbang, melaungkan Takbir Eid melalui pembesar suara, menghantar kad ucapan eid menggunakan komputer, menghantar janazah dengan kereta janazah, ucapan takziah melalui e-mail, dsb.
-----------------

Kesimpulannya ialah tidak ada bid'ah hasanah didalam soal-soal ibadat kerana persoalan ibadat ini telah pun dilengkapkan oleh Nabi saw, Wujud bid'ah didalam soal-soal keduniaan, kerana urusan dunia ini tidak terhenti sehinggalah ke hari kiamat. Islam menggalakkan R&D, Inovasi (bid'ah) didalam hal-hal keduniaan. Tidak perlu lagi kita menilai semula atau melakukan sesuatu yang baru didalam soal-soal ibadat! BerBid'ahlah didalam soal-soal keduniaan, agar kita dapat melahirkan banyak saintis-saintis dan membawa kembali zaman kegemilangan Islam yang silam diabad ini. wallahu'alam.

wassalam

0 comments:

Post a Comment