Jan 19, 2009

Azan P. Ramlee

Saya ingin bertanya dengan merujuk kepada nada Azan P ramlee dalam filem sumpah semerah padi :

1. Adakah nada Azan sebegitu dibolehkan dilaungkan menyeru solat5 waktu ?

2. Apakah seharusnya Azan dilaungkan dgn Nada yg keras, sedih atau nada biasa..mana yg terbaik

*********************
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr alijimmm dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

1) Mungkin apa yang dimaksudkan oleh sdr alijimmm ialah hukum melagukan Azan. Ada dikalangan ulama' mengatakan bahawa melagukan azan itu hukumnya makruh.
Menurut Mazhab Syafie, disunatkan azan dengan menggunakan satu melodi, Mazhab Hanafi pula mengatakan melagukannya adalah baik asal tidak mengubah makna azan dan kedua-dua Mazhab Hanbali dan Maliki berpendapat bahawa melagukan azan itu makruh.

Menurut Zainuddin Al-Iraaqi :

والمستحب أن يترسل في الأذان ، … ويكره التمطيط وهو التمديد [ والتغني ] وهو التطريب ، لما روي أن رجلا قال لابن عمر " إني لأحبك في الله قال : وأنا أبغضك في الله إنك تبغي في أذانك " قال حماد يعني التطريب .

"Adalah mustahab memanjangkan vowel didalam azan sedikit,... dan makruh memanjangkan sangat sehingga ia berbentuk melagukan, kerana telah diriwayatkan bahawa ada seseorang telah berjumpa dengan Ibn Umar, 'sesungguhnya aku cintakan kamu kerana Allah', dan dia menjawab ,'Aku membencikan kamu kerana Allah, kerana kamu melampaui batasan azan.'. berkata Hammaad, yakni menyanyi".

Sheikh Ibn Utsaimin (Al-Sharh al-Mumti’, 2/62, 63), bekas Mufti Arab Saudi mengatakan bahawa terdapat 2 jenis muaazzin yang melakukan kesilapan didalam azan:-

a. Mulahhan (الملحن) - seorang yang memperkenalan azan didalam bentuk melodi., seolah-olah ia sedang menyanyi. Azannya sah, tetapi makruh.
b. Malhuun (الملحون) - seorang yang melakukan kesalahan didalam bacaan (Al-Lahn - (اللحن ). Jenis ini dibahagikan kepada 2. Jenis pertama ialah jika ia tidak mengubah makna Azan, maka Azannya sah tetapi makruh. Jenis yang kedua ialah, ia mengubah makna perkataan, seperti "Allaahu Akbar" menjadi "Allaahu Akbaar"(الله أكبار ). Akbaar adalah jama' kepada Kabar( كَبَر ) yang bermakna gendang. Atau ada juga yang menambahkan mad atau memanjang Alif pada perkataan Allah menjadi AAllah( آلله ), yang akan menjadikan ia ayat pertanyaan - "Apakah Allah?".

2) Didalam Al-Mudawwanah ada menyebut tentang makruhnya azan dengan suara yang beremosi, samaada seperti seorang yang terlalu gembira atau seseorang yang merasakan panik. Adalah mustahab bagi seorang muazzin mempunyai suara yang baik dan kuat. Ulama' mengatakan hukumnya makruh mengeluarkan suara yang tidak senang didengar dan juga kasar, atau pun menunjukkan suara yang terlalu sedih. Menurut Waliyuddin Al-Iraaqi (Tarh Al-Tathriib, 3/118-120) :-

قال الشاشي في " المعتمد " : الصواب أن يكون صوته بتحزين وترقيق ليس فيه جفاء كلام الأعراب ولا لين كلام المتماوتين …

"Berkata Al-Shaashi didalam al-Mu'tamad : cara yang baik ialah suara yang lembut dan nada yg sedikit sedih, bukan kasar seperti percakapan orang Badui atau lembut seperti seorang yang hendak mati.... "

Apa yang boleh kita rumuskan disini ialah, muazzin boleh memanjangkan bacaan vowel tanpa berlebih-lebihan. Muazzin hendaklah berhati-hati didalam memanjangkan bacaan kerana takut melakukan Al-Lahn atau kesilapan didalam grammer bahasa arab, malahan ada yang boleh mengubah makna dan boleh membawa kepada hukum haram. Wallahu'alam.

wassalam
========
Rujukan :

1. Fatwa IslamOnline. ما حكم التطويل في الأذان؟. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=17302

1 comments:

TKPM Gajah X Mati said...

Azan P Ramlee patut di siarkan selalu.. moga beliu yang sudah mati mendapat pahala. Ia juga memberi peringatan yang kita juga akan mati.

Post a Comment