Dec 12, 2009

Sunnahkah (Tsabitkah) Solat Qabliyah Jumaat?

Sumber dari blog saudara Nawawi di http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/04/88-sunnahkah-tsabitkah-solat-qabliyah.html
=======================================================

Sunnahkah (Tsabitkah) Solat Qabliyah Jumaat?

Diriwayatkan dari as-Sa’ib bin Yazid, ia berkata, “Sesungguhnya azan pada hari Jumaat pada awalnya ketika imam duduk di atas mimbar pada hari Jumaat, iaitu pada masa Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, dan Umar r.anhuma. Pada masa khalifah Utsman r.a. (ketika jumlah mereka semakin ramai), dia memerintahkan untuk mengumandangkan azan ketiga (iaitu azan tambahan) pada hari Jumaat. Ia memerintahkan untuk mengumandangkan azan dari atas az-Zaura’, lalu hal itu terus berlangsung dan tidak ada seorang pun yang mencelanya. Padahal mereka telah mengkritiknya (sebelumnya), ketika dia menyempurnakan solat di Mina.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 916, Abu Daud, no. 1087, at-Tirmidzi, no. 516, an-Nasa’i, 3/101, dan Ibnu Majah, no. 1135)

Dapat difahami melalui hadis ini bahawa:

1 – Azan pada hari Jumaat dilakukan ketika imam duduk di atas mimbar.

2 – Disunnahkan satu kali azan pada hari Jumaat, iaitu ketika imam duduk di atas mimbar.

Diriwayatkan dari Jabir, ia berkata, “Seorang laki-laki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat (ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah), maka beliau bertanya, “Apakah engkau sudah solat?” Ia menjawab, “Belum”. Beliau s.a.w. berkata, “Kalau begitu, solatlah dua rakaat”.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 930, dan Muslim, no. 875)

Menurut Abu Malik Kamal di dalam Kitabnya, Shahih Fiqh Sunnah:

“Tidak ada solat sunnah qabliyah sebelum solat Jumaat. Jika azan telah dikumandangkan, maka tidak boleh seorang pun bangkit mengerjakan solat. (Kecuali jika dia datang setelah azan dikumandangkan, maka ia boleh mengerjakan solat sunnah Tahiyatul Masjid, kemudian duduk. Ataupun ia lupa solat Tahiyatul Masjid, maka dia boleh bangun untuk mengerjakannya) Ini adalah pendapat ulama yang paling sahih. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi’i dan majoriti sahabatnya (kecuali imam Nawawi) serta inilah pendapat yang masyhur dari mazhab Ahmad. (al-Fatawa al-Kubra, Sheikhul Islam, 2/433, dan Tharh at-Tatsrib, 3/41) Inilah yang selaras yang bertepatan dengan sunnah. Kerana Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya, menuju ke masjid, dan setelah beliau naik ke mimbar, Bilal memulai azan Jumaat. Setelah azan selesai, Nabi terus sahaja berkhutbah tanpa ada pemisah. Hal ini (situasi ini) disaksikan dengan jelas, jadi, bilakah masanya mereka mengerjakan solat sunnah (Qabliyah Jumaat)? Oleh itu, barangsiapa mendakwa bahawa mereka semua (para sahabat di hadapan nabi ketika berkhutbah – tamb.) berdiri untuk mengerjakan solat dua rakaat, setelah Bilal selesai mengumandangkan azan, maka ia adalah orang yang tidak melihat kepada sunnah.

Malah hal ini dikuatkan lagi dengan hadis Ibnu Umar, ia berkata, “Aku solat bersama Rasulullah s.a.w. dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat setelah maghrib, dua rakaat setelah Isya’, dan dua rakaat setelah Jumaat.” Ini adalah nash yang sangat jelas bahawa solat Jumaat, menurut sahabat, terpisah dari solat Zuhur (solat Jumaat adalah berbeza dengan solat Zuhur) dengan sendirinya. Kerana tidak disebutkan bahawa solat Jumaat memiliki solat sunnah, kecuali setelahnya, maka diketahui bahawa tidak ada solat sunnah Qabliyah Jumaat. (Shahih Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 310)

Imam asy-Syafi’e rahimahullah menyatakan berkenaan hal ini, “Maka setelah matahari tergelincir dan imam telah duduk di atas mimbar, serta mu’azzin (tukang azan) mengumandangkan azan, maka tidak ada lagi ruku’ (solat). Maka janganlah seseorang ruku’ (solat), melainkan seseorang yang datang (ke masjid) dalam keadaan belum ruku’ (solat), maka hendaklah dia ruku’ (solat Tahiyatul masjid).” (al-Umm, jil. 1, m/s. 202)

Berkata Ibnu Taimiyah rahimahullah:

Adapun Nabi s.a.w. tidak pernah mengerjakan solat Qabliyah Jumaat atau apa-apa pun selepas azan Jumaat. Tidak pernah dinukil berkenaannya walaupun walaupun dari seorang. Sesungguhnya di masa Nabi s.a.w. tidak pernah dikumandangkan azan kecuali setelah baginda di atas mimbar. Setelah Bilal azan, Rasulullah lantas meneruskan dengan dua khutbah. Setelah itu Bilal iqamah, maka Nabi s.a.w. bersolat bersama sekalian manusia (yang ada). Oleh yang demikian, maka tidak mungkin Baginda dan tidak juga walau salah seorang dari kaum muslimin yang solat Jumaat dengan Baginda s.a.w. melakukan solat selepas azan. Tidak pernah seorang pun menukil bahawa Baginda solat di rumahnya sebelum keluar ke masjid di hari Jumaat.” (Majmu’ al-Fatawa, jil. 24, m/s. 188)

Berkata ‘Abdullah ‘Abdur Rahman al-Bassam, “Tidak ada sunnah untuk solat Jumaat sebelumnya (Qabliyatul Jumaah). Itulah kata-kata ulama dan dengannyalah petunjuk sunnah.” (Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, 2/345) Katanya lagi, “Tidak ada sunnah rawatib sebelum solat Jumaat, sesungguhnya Nabi s.a.w. setelah keluar dari rumahnya terus naik ke mimbar, lantas Bilal terus mengumandangkan azan, setelah sempurna azan, Nabi s.a.w. terus berkhutbah tanpa berlengah.” (Taudhihul Ahkam min Bulughul Maram, 2/345)

Solat Sunnah Qabliyah Jumaat Menurut Mazhab ays-Syafi’e

Di sisi al-Imam asy-Syafi’e rahimahullah (204H) sendiri, menurutnya tidak ada solat sunat Qabliyah Jumaat. Pendapat beliau dalam bab ini adalah selari dengan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dimana beliau berkata:

Aku menyukai apabila azan pada hari Jumaat dilaungkan ketika imam sudah memasuki masjid dan beliau duduk pada tempat yang beliau berkhutbah di atasnya dengan posisi yang agak tinggi seperti kayu atau pelepah kurma, mimbar, pelantar atau selainnya, atau di atas tanah itu sendiri. Apabila (imam telah) melakukan (sedemikian), muazin melaungkan azan. Apabila telah selesai, imam berdiri lalu menyampaikan khutbah. Tidak ada tambahan ke atas itu. (al-Umm (Tahqiq: Ahmad Badr al-Din; Dar al-Qutaibah, 1996), jld. 3, m/s. 60)

Sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dan dipraktikkan oleh para sahabat, al-Imam asy-Syafi’e juga menyukai agar orang-orang yang sampai awal ke masjid melaksanakan solat-solat sunat mutlak sehinggalah imam menaiki mimbar. Setelah menerangkan kelebihan orang yang pergi awal ke masjid sempena solat Jumaat, beliau berkata:

Apabila orang ramai pergi melaksanakan solat Jumaat, hendaklah mereka bersolat sehinggalah imam menaiki mimbar. Apabila imam berada di atas mimbar, mereka yang mendirikan solat dua rakaat dan berkata-kata hendaklah berhenti supaya imam dapat memulakan khutbah. Apabila imam berkhutbah, mereka diam memerhatikannya. (al-Umm, jil. 3, m/s. 73)

Al-Hafiz Abu Syamah rahimahullah (665H) menerangkan:

Bahawa kebiasaan Nabi s.a.w. ketika keluar dari rumahnya pada hari Jumaat, maka baginda terus naik ke mimbar lalu muazin melaungkan azan. Setelah muazin selesai melaungkan azannya, maka baginda terus menyampaikan khutbahnya. Seandainya pada solat Jumaat tersebut wujud solat sunat qabliyah, tentu sesudah azan selesai dilaungkan baginda akan menyuruh para sahabat mendirikan solat sunat tersebut. Bahkan baginda sendiri akan mendirikannya terlebih dahulu sebelum menyuruh para sahabatnya. Pada zaman Nabi s.a.w., tidak dikenali solat sunat pada hari Jumaat yang didirikan setelah azan dilaungkan dan didirikan di hadapan khatib. (Bid‘ah yang Dibungkus Dengan Hadits Palsu (Judul Asli: al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, Tahqiq: Basyir Muhammad Uyun),Terbitan Pustaka Azzam, m/s. 225-226)

al-Hafiz al-‘Iraqi rahimahullah (806H):

Yang sedemikian adalah kerana Nabi al-Sholah wa al-Salam, tidak dilaungkan azan pada hari Jumaat kecuali di hadapan baginda dan baginda pada ketika itu di atas mimbar. Maka tidaklah baginda bersolat untuknya (sesudah azan). Dan demikian juga para sahabat radhiallahu 'anhum, dimana apabila keluarnya imam mereka terus memberhentikan solat. (Tharh al-Tsarib fi Syarh al-Taqrib (Muassasah al-Tarikh al-‘Arabi, Beirut, 1996), jil. 3, m/s. 41)
Adapun yang dimaksudkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi sebagai solat yang dihentikan oleh para sahabat ketika keluarnya imam, ia adalah solat-solat sunat mutlak seperti solat sunnah Tahiyatul Masjid, dan selainnya.

Berkata Abu Syamah lagi, Sesungguhnya solat-solat sunnah adalah solat yang dinukil (diterima) dari Rasulullah s.a.w., melalui perkataan atau amalan, namun solat Qabliyatul Jumaat (solat sebelum Jumaat) tidak pernah terdapat walau satu pun riwayat dari Nabi s.a.w. yang membuktikan bahawa ia perbuatan sunnah.” (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, m/s. 195)

Kemusykilan Dan Pencerahannya

Kemusykilan:

Di antara setiap dua azan ada solat, di antara setiap dua azan ada solat (kemudian baginda bersabda pada kali ketiga):

“Kepada sesiapa yang mengingininya.” (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, hadis no. 627)

Pencerahan:

Hadis di atas memang dijadikan hujah oleh para imam Mazhab al-Syafi’e yang mensabitkan solat sunat qabliyah Jumaat. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani membongkar hakikat ini:

Apa yang paling kuat dijadikan pegangan bagi mensyari‘atkan (solat sunat) dua rakaat sebelum Jumaat adalah keumuman daripada apa yang disahihkan oleh Ibn Hibban daripada hadis ‘Abd Allah bin al-Zubair secara marfu’: “Tidak ada solat fardhu melainkan ia didahului oleh dua rakaat”, juga hadis semisal daripada ‘Abd Allah bin Mughaffal dalam bab “Waktu Maghrib”: “Di antara setiap dua azan ada solat.” (Fath al-Bari, jil. 3, ms. 96)

Kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar di atas bukanlah untuk membenarkan penggunaan dua hadis tersebut sebagai dalil, sebaliknya mengisyaratkan kelemahannya. Isyarat ini dapat ditangkap daripada perkataan beliau “…adalah keumuman daripada apa yang…”, kerana dalil yang umum tidak boleh digunakan bagi mengkhususkan sesuatu amalan jika amalan itu sendiri telah dinafikan oleh dalil khusus yang lain.

Di antara yang berhujah dengan hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal ialah al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) dimana beliau berkata:

Dan adapun sunat sebelumnya (qabliyah Jumaat) maka asasnya adalah hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal yang telah disebut dalam perbincangan sebelum ini: “Di antara setiap dua azan ada solat” dan juga diqiyaskan kepada solat Zohor. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Tahqiq: M. Najib; Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, 2001), jil. 3, ms. 349)

Menggunakan hadis di atas sebagai dalil adalah tidak tepat. Selain daripada sifatnya yang umum, ia juga dipandang tidak tepat kerana:

1 - Yang dimaksudkan dengan “dua azan” bukanlah dua azan solat Jumaat sebagaimana yang wujud sekarang. Ini kerana pada zaman Rasulullah s.a.w., hanya ada satu azan bagi solat Jumaat. Maka yang dimaksudkan sebagai “dua azan” ialah azan dan iqamat. Demikian jelas al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Maksudnya ialah azan dan iqamah. Tidak sah mengambil (kefahaman) hadis ini secara zahir.” (Fath al-Bari, jil. 2, ms. 315)

2 - Azan dan iqamat berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. ketika melaksanakan solat Jumaat. Akan tetapi – sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini – tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman baginda tidak memungkinkan perlaksanaan solat sunat qabliyah Jumaat.

Oleh itu pendapat al-Imam al-Nawawi di atas telah ditolak oleh Al-Hafiz al-Busyiri rahimahullah (840H):

Dan di antara yang terbaik yang dijadikan dalil dengannya (dalam bab solat sunat qabliyah Jumaat) ialah apa yang sabit daripada dua kitab sahih daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal daripada Nabi s.a.w.: “Di antara setiap dua azan ada solat”.

Padahal ini mustahil berlaku pada solat (Rasulullah) s.a.w. kerana sesungguhnya baginda di antara azan dan iqamat berkhutbah, maka tidak ada solat pada ketika itu di antara kedua-duanya (azan dan iqamat).

Benar, bahawa sesudah itu Utsman (ibn ‘Affan radhiallahu 'anh) mengadakan azan di atas al-Zawra (sebagai azan pertama manakala azan kedua di dalam masjid), memungkinkan solat sunat Jumaat sebelum keluarnya imam untuk berkhutbah. (Mishbah al-Zujajah fi Zawa‘id Ibn Majah, Tahqiq: Kamal Yusuf; Dar al-Jinan, Beirut, 1986), jil. 1, ms. 213)

Oleh itu tidaklah tepat menggunakan hadis “Di antara setiap dua azan ada solat” sebagai dalil kerana tertib perlaksanaan solat Jumaat pada zaman Rasulullah s.a.w., khasnya dari azan hingga iqamat, tidak memiliki selang masa untuk melaksanakan solat sunat qabliyah Jumaat.

Kemusykilan Kedua:

Apakah boleh mengqiyaskan solat sunat qabliyah Jumaat kepada solat sunat qabliyah Zohor sebagaimana kata-kata al-Imam al-Nawawi yang dinukil di atas?

Pencerahan:

Kata-kata atau pendapat al-Imam Nawawi untuk menggunakan kaedah qiyas dalam persoalan ini telah ditolak oleh seorang tokoh Mazhab al-Syafi’e yang sezaman dengan beliau, iaitu al-Hafiz Abu Syamah:

Alasan tidak adanya solat sunat qabliyah Jumaat adalah bahawa yang dimaksudkan dengan solat sunat dalam pandangan kami adalah solat yang didasarkan kepada petunjuk Rasulullah s.a.w. sama ada petunjuk itu dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan. Berkenaan solat sunat qabliyah Jumaat, tidak ada satu petunjuk jua daripada Nabi s.a.w. yang menunjukkan bahawa solat tersebut disunnahkan. Disamping itu tidak dibenarkan melakukan qiyas dalam menetapkan dalil syar‘i yang berkenaan dengan solat. (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, m/s. 224)
Sebenarnya terdapat banyak perbezaan antara solat Jumaat dan solat Zohor. Di antaranya, solat Jumaat wajib berjamaah manakala solat Zohor hanya sunat muakad, wajib meninggalkan jual beli apabila dilaungkan azan Jumaat, solat Jumaat adalah 2 rakaat manakala solat Zohor adalah 4 rakaat, solat Jumaat didahului dengan khutbah manakala solat Zohor tidak, bacaan surah dalam solat Jumaat adalah kuat manakala dalam solat Zohor adalah perlahan dan sebagainya. Perbezaan-perbezaan ini menutup pintu yang membolehkan perhubungan antara solat Jumaat dan solat Zohor melalui jalan qiyas. Bahkan dalam bab ini terdapat dalil yang menunjukkan perbezaan solat-solat sunat bagi solat Zohor dan Jumaat. Dalil tersebut ialah hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dimana beliau berkata:

Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersolat sebelum zohor dua rakaat dan sesudah zohor dua rakaat, sesudah Maghrib dua rakaat di rumahnya dan sesudah Isya’ dua rakaat. Dan baginda tidak bersolat sesudah Jumaat sehinggalah meninggalkan masjid dan baginda bersolat dua rakaat. (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jumuah, hadis no. 937)

Perhatikan bahawa apabila Ibn ‘Umar menerangkan solat-solat sunat Rasulullah, beliau membezakan antara solat Zohor dan solat Jumaat. Dua perbezaan yang paling nyata adalah:

1 - Solat Zohor memiliki sunat qabliyah dan ba’diyah manakala solat Jumaat hanya memiliki sunat ba’diyah.

2 - Sunat ba’diyah Zohor dilaksanakan di masjid manakala sunat ba’diyah Jumaat dilaksanakan di dalam rumah.

Justeru pendapat al-Imam al-Nawawi untuk menggunakan kaedah qiyas dalam bab ini adalah pendapat yang lemah. Ini kerana peranan qiyas adalah menghubungkan satu persoalan baru dalam kehidupan manusia kepada persoalan asal yang sudah sedia wujud hukumnya pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan illat (sebab di sebalik hukum). Adapun ibadah, maka tidak boleh ada satu jua ibadah yang baru melainkan apa yang sudah disyari‘atkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dengan itu, qiyas tidak memiliki peranan untuk mewujudkan hukum ibadah yang baru, seperti mewujudkan ibadah “solat qabliyah Jumaat” dan menghukumnya sebagai “sunat”.
Lebih dari itu, syarat utama bagi qiyas ialah wujudnya sebab yang sama antara kedua-dua persoalan yang ingin dihubungkan. Syarat ini tidak dapat dipraktikkan dalam persoalan ibadah kerana manusia tidak mampu mengetahui “sebab di sebalik” sesuatu ibadah untuk dikaitkan kepada ibadah yang lain. Sebab di sebalik semua ibadah adalah ketaatan kepada Allah semata-mata. Namun, toh dikatakan boleh mengamalkan qiyas untuk ibadah, ia tetap tidak boleh digunakan dalam persoalan solat sunat qabliyah Jumaat kerana terdapat banyak perbezaan antara solat Jumaat dan solat Zohor sepertimana yang diterangkan di atas.

Kemusykilan Ketiga:

Jika dikaji semua hadis-hadis dalam bab ini, ditemui bahawa sebahagian sahabat ada yang melaksanakan solat sunat sebelum solat Jumaat. Kenapakah hadis-hadis ini tidak dijadikan dalil bagi solat sunat qabliyah Jumaat?

Pencerahan:

Benar bahawa terdapat hadis-hadis yang menerangkan bahawa para sahabat melaksanakan solat-solat sunat sebelum solat Jumaat. Namun solat-solat sunat tersebut bukanlah solat sunat qabliyah Jumaat tetapi adalah solat sunat mutlak semata-mata.

Ringkasnya, solat sunat (tathawwu’) terdiri daripada dua jenis:

1 - Solat sunat mutlak, ia adalah solat-solat sunat yang didirikan secara bebas.

2 - Solat sunat khusus, ia adalah solat-solat sunat yang terikat dengan peraturan syari‘at. Contohnya ialah solat Id al-Adha, solat Id al-Fitri, solat Jenazah, solat Witir, solat Dhuha, solat Istikarah dan sebagainya.

Solat-solat sunat sebelum atau selepas sesuatu solat wajib juga duduk di dalam kategori ini.
Maka apa yang dilakukan oleh para sahabat, ia adalah solat sunat mutlak. Ia bukan solat sunat qabliyah Jumaat yang duduk di dalam kategori solat sunat khusus yang sedang kita bincang dalam pencerahan ini. Para pembaca sekalian perlu membezakan antara dua bentuk solat sunat ini dengan pembezaan yang sejelas-jelasnya, umpama siang dengan malam. Ini kerana banyak kekeliruan timbul dalam bab ini, termasuk di kalangan sebahagian tokoh dan ilmuan, disebabkan kegagalan untuk membezakan dua bentuk solat sunat ini. Al-Hafiz Abu Syamah berkata:

Solat sunat tersebut dibolehkan dan tidak dikategorikan sebagai perbuatan mungkar jika dilihat dari sudut ibadah solat. Namun kemungkaran ibadah tersebut terletak pada keyakinan orang-orang di antara mereka dan sebahagian orang yang memiliki pengetahuan, yang menganggap solat tersebut sebagai solat sunat qabliyah Jumaat, seperti solat sunat qabliyah Zohor. (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, m/s. 223)

Adapun melaksanakan solat-solat sunat secara mutlak sebelum Jumaat, maka ia disunnahkan oleh hadis berikut daripada Salman al-Farisi radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tidaklah seseorang itu mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampu dirinya, meminyakkan rambut atau menyapu minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju ke masjid) dan dia tidak memisahkan dua orang (yang telah sedia duduk di saf hadapan masjid), kemudian dia bersolat menurut apa yang ditentukan oleh Allah baginya (yakni sekadar mampu), kemudian dia diam apabila imam berkata-kata (berkhutbah), kecuali diampunkan baginya (dosa-dosa) antara Jumaat itu dan Jumaat berikutnya. (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jumuah, hadis no. 883)

Maka berdasarkan hadis di atas, para sahabat berusaha untuk pergi awal ke masjid dalam keadaan berseri-seri. Kemudian mereka melaksanakan solat-solat sunat mutlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. sehinggalah masuknya waktu solat Jumaat. Solat-solat sunat mutlak yang dilaksanakan oleh para sahabat berbeza-beza jumlah rakaatnya, semuanya bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Penjelasan al-Hafiz Abu Syamah sekali lagi menjadi rujukan:

Abu Bakar al-Munzir berkata: “Kami telah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau biasa mendirikan solat sunat sebelum Jumaat sebanyak 12 rakaat. Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau biasa mendirikan solat sunat (sebelum Jumaat) sebanyak 8 rakaat.”

Keterangan di atas menjadi dalil bahawa solat sunat yang dilaksanakan oleh mereka (para sahabat) adalah semata-mata solat sunat (mutlak) menurut pandangan mereka sendiri dan bukan didasarkan kepada petunjuk (yakni contoh praktikal daripada) Nabi s.a.w.. Demikian juga dengan jumlah rakaat yang diriwayatkan daripada mereka, dimana jumlah rakaatnya berbeza-beza. Hal ini semata-mata sebagai solat sunat (mutlak) tanpa dikaitkan dengan solat Jumaat.

Selanjutnya berkenaan waktu perlaksanaannya, bahawa para sahabat sebagaimana yang disebut di atas, mendirikan solat tersebut sebelum dilaungkan azan dan sebelum masuknya waktu solat Jumaat. Ini kerana mereka datang ke masjid pada pagi hari sebelum imam tiba (sebagaimana yang dianjurkan oleh hadis Salman al-Farisi di atas), maka mereka biasa mendirikan solat sunat (mutlak).

Solat sunat (mutlak) seperti ini biasa juga mereka dirikan pada solat Id (Hari Raya) padahal mereka juga mengetahui bahawa dalam solat Id tidak ada solat sunat qabliyah dan ba’diyahnya. (al-Ba’its al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, m/s. 223)

Al-Hafiz al-‘Iraqi turut menjelaskan:

Terdapat kemusykilan di dalam masalah ini, disebabkan oleh satu bab yang disusun oleh (al-Imam) Ibn Abi Syaibah di dalam (kitab) al-Musannafnya, iaitu “Bab solat sebelum Jumaat” dimana di dalamnya terdapat riwayat daripada ‘Abd Allah ibn Mas‘ud bahawanya beliau bersolat empat rakaat sebelum Jumaat, daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau mengasingkan diri pada hari Jumaat untuk bersolat dengan panjang sebelum keluarnya imam, daripada ‘Umar bin Abd al-Aziz dimana beliau bersolat sebelum Jumaat sebanyak 10 rakaat, daripada Ibrahim al-Nakha’e dimana beliau bersolat sebelum Jumaat empat rakaat, daripada Abi Majlazin bahawa beliau bersolat dirumahnya dua rakaat pada hari Jumaat dan daripada Thawus dimana beliau tidak akan mendatangi masjid pada hari Jumaat sehinggalah beliau bersolat di rumahnya dua rakaat.

Tidaklah daripada semua itu menjadi dalil ke atas solat sunat (sebelum) Jumaat kerana yang sedemikian dilaksanakan sebelum gelincir matahari (sebelum masuk waktu Jumaat). (Tharh al-Tsarib, jil. 3, ms. 43)

Kesimpulan:

1 - Solat Qabliyah sebelum perlaksanaan solat Jumaat adalah tidak sunnah dan tiada contohnya dari Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat yang lainnya.

2 - Apa yang ada selepas atau sebaik sahaja selepas azan zuhur di hari Jumaat (ketika di masjid), hanyalah solat sunnah Tahiyatul Masjid iaitu bagi mereka yang belum melaksanakannya.

3 comments:

Anonymous said...

tak payah lah ustaz duk peningkan kepala mereka yang duk ikut fahaman mazhab syafie... dan tak payah duk tarjih pulak...bukan ilmu kita nak tarjih pendapat para mujtahid..yang orang malaysia duk ikut tu sejak zaman berzaman dah betul..

Anonymous said...

Salam,
Saya sokong penelitian ustaz,,sebab agama islam ini dalah agama ilmu,tiada ibadah yang tiada sebab kejadiannya,,terima kasiah atas tunjuk ajar,,syukuran kepada Allah,,

Anonymous said...

kalau tak boleh tarjih ilmu ko pegilah ikut guru tarikat ko tu atau ikut je telunjuk imam kampung ko tu, lepas tu kata yg ni fatwa imam shafie

Post a Comment