Jan 25, 2009

Melintas Depan Jemaah Solat

Salam

Abdullah bin Abbas berkata; "aku datang dengan menunggang keldai betina dan saat itu aku hampir baligh. Ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang solat di Mina dengan tidak menghadap tembok. Aku pun lewat di depan shaf (solat), lantas ku turun dan ku lepas keldaiku agar merumput. Setelah itu, aku masuk kedalam shaf, dan tiada seorang pun yang mengingkari perbuatanku itu. (Bukhari dalam al-'ilmu(76))

Soalan:

1- apakah petanda atau mesej yang hendak disampaikan pada hadis ini?

2- adakah dibenarkan untuk kanak2 yang belum baligh melintas di depan orang bersolat?

3- atau adakah dibenarkan untuk melintas di hadapan shaf makmum?

Sekian, terima kasih.

************************
izrail
Panel Feqh

Bismillah

Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah SAW,

Antara pengajaran dari hadis ini:

1. Imam Bukhari meletakkan hadis ini dalam kitab ilmu (bab: bila boleh terima periwayatan kanak-kanak) yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum baligh boleh meriwayatkan hadis. Kerana Ibn Abbas r.a meriwayatkan hadis ini ketika beliau masih belum baligh.

2. Imam Bukhari meletakkan juga hadis ini dalam (bab: sutrah Imam adalah sutrah makmum dibelakangnya) yang menunjukkan makmum tidak memerlukan sutrah lain kerana sutrah imam adalah sutrah mereka juga.

3. Hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak boleh bersolat di dalam saf lelaki dewasa.

4. Hadis ini membenarkan melintas depan saf makmum dengan tujuan bersolat dalam saf mereka. Dan hadis ini mengkhaskan hadis yang melarang melintas di depan orang yang sedang bersolat, hadis itu dikhaskan larangan kepada imam dan orang yang solat berseorangan sahaja, bukan larangan kepada makmum yang berada di belakang imam.

5. Ibn Abbas meriwayatkan hadis ini sebagai menasakhkan hadis yang mengatakan solat akan terbatal jika dilintasi keldai dan wanita. Lebih-lebih lagi yang dinyatakan dalam hadis ini adalah keldai betina pun tidak membatalkan solat, apatah lagi manusia wanita tentulah tidak membatalkan solat.

6. Hadis ini membenarkan menaiki kenderaan untuk pergi bersolat jamaah.

7. Hadis ini menunjukkan bahawa sesuatu perbuatan yang berlaku di depan Nabi SAW yang tidak diingkari adalah hujah dengan pengakuan Nabi SAW (taqrir).

Rujukan:
- Fathul Bari: 2/238
- 'Umdatul Qari: 3/190-191

Wallahu a3lam

0 comments:

Post a Comment