Jan 19, 2009

Imam Terlupa Dia Berhadas Besar

Asalamulaikum W.T.H

Permasalahannya adalah seperti berikut; Seorang mengimamkan sembahyang jemaah, beliau terlupa bahawa dirinya berhadas besar (terlupa mandi wajib), perkara tersebut telahpun disedarinya pada rakaat kedua, tetapi masih meneruskan sembahyang tersebut sehingga akhir. Persoalannya, adakah solat jemaah tersebut dikira, adakah makmum turut terbatal dan apakah hukumnya imam tersebut yang telah menyedari akan kesilapan tetapi masih meneruskan solat. Wallahu'alam. Jazakallah.

*****************
wa'alaukumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr Kalami dengan kadar kemampuan terhad yang ada, Insyallah.

Ulama' khilaf didalam mendatangkan hukum menentukan sah atau tidak solat makmum apabila Imam didalam keadaan janaabah (berjunub). Menurut Dr Wahbah Zuhaily, Pensyarah dari Universiti Damsyik, Syiria :-


أن العلماء اتفقوا على أنه إذا طرأ الحدث في الصلاة على الإمام، فتفسد صلاته، وتظل صلاة المأمومين صحيحة.

"Sesungguhnya ulama' bersetuju bahawa jika Imam secara mengejut berhadath didalam solat, batallah solatnya (Imam), Solat makmum masih sah." (al-Fiqh Al-Islami, 2/199).

Yang jadi perbincangan ialah, jika Imam bersolat dengan makmum, sedangkan ia didalam keadaan berjunub, dan hal diketahui oleh makmum. Apakah sah solat makmum. Maka disini terdapat 3 pandangan :

a. Mazhab Hanafi - Solat mereka rosak secara mutlak.
a. Mazhab Maliki - Batal solat mereka (Imam dan makmum) didalam keadaan sengaja dan bukan lupa.
b. Mazhab Syafie dan Hanbali - Solat mereka sah, melainkan didalam solat Jumaat jika jumlah jemaah bersama Imam cuma 40 orang sahaja, dan pada waktu itu solat menjadi batal.

Sebab perselisihan :- Apakah sahnya solat makmum berkaitan dengan sahnya solat Imam?

a. Yang berpendapat bahawa ada perkaitan didalam kesahihan solat Imam dan makmum; maka mereka menghukum bahawa solat tersebut batal.
b. Yang berpendapat bahawa tiada perkaitan didalam kesahihan solat Imam dan makmum; maka mereka menghukum solat mereka sah.

Mereka yang berpendapat bahawa solat tersebut sah oleh kerana zahir maksud hadith dari Abu Bakrah :


أن النبي صلى الله عليه وسلم استفتح، فكبر ثم أومأ إليهم : أن مكانكم، ثم دخل، ثم خرج ورأسه يقطر فصلى بهم، فلما قضى الصلاة، قال : إنما أنا بشر مثلكم، وإني كنت جنبا.

"bahawa Nabi saw memerintahkan dimulakan solat lalu baginda bertakbir, kemudian baginda mengisyaratkan kepada mereka: tetaplah ditempat kamu, kemudian baginda masuk kedalam dan keluar semula dalam keadaan kepalanya bertitisan air. lalu baginda pun bersolat bersama mereka. Apabila selesai solat, baginda bersabda : 'Sesungguhnya aku adalah manusia seperti kamu dan sesungguhnya tadi aku sedang berjunub.'" (Nailu Al-Authaar 3/175).

Zahir hadith diatas menunjukkan menunjukkan bahawa mereka terus bersolat. Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa jika solat tersebut berkaitan antara makmum dan Imam, sudah tentu para sahabat memulakan solat sekali lagi.

Imam Al-Khattaabi didalam memberi komentar keatas hadith yang sama maksudnya yang diriwayatkan oleh Abi Daud mengatakan :


هذا الحديث دلالة على أنه إذا صلّى بالقوم وهو جنب وهم لا يعلمون بجنابته أن صلاتهم ماضية ولا إعادة عليهم وعلى الإمام الإعادة

"Di dalam hadith ini terdapat dalil bahawa barangsiapa yang mengImami Solat sedangkan dia didalam keadaan berjunub, dan makmum tidak mengetahui mengenainya, maka solat mereka tidak terjejas dan tidak perlu bagi mereka mengulangi solat tersebut, dan Imam hendaklah mengulangi solatnya". (Sunan Abi Dawood wa ma’ahu Ma’aalim al-Sunan oleh al-Khattaabi, suntingan oleh al-Da’aas, 1/159.)

WA. wassalam
=============
Rujukan

1. Dr Wahbah Al-Zuhaily. Al-Fiqh Al-Islami wa'adillatuh. cetakan ke 3. Damsyik : Dar al-Fikr, 1989. ms 199 - 200.

1 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum W.T.H

jika khatib tetinggal rukun khutbah, maka tidak sah solat jumaatnya. tetapi setelah dia menyedari kesilapan itu beberapa hari berikutnya, maka di qada' solat jumaat tersebut pada hari jumaat yang berikutnya. soalan ana, Adakah solat jumaat yang diqada' itu dikira sah? wallahu'alam
Jazakallah

Post a Comment