Dec 17, 2008

Bacaan Imam Tak Betul

Assalamualaikum w.b.

Ana ada sedikit kemusykilan…

Sahkah solat seseorang yang berimamkan imam yang tersilap bacaannya macam ni… “Wala thoooolliiin…” di mana huruf Dhad nya seolah-olah huruf Tho …bukan selalu…kekadang je…ntahler…sebab kecuaian ke…sebab semulajadi ke…sebab tak perasan ke… WA…dan kalau tak sah…kena mufaraqah ke?

Wallahua’lam


وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************
SJ – 2600 : IMAM TIDAK PANDAI TAJWID & MUFARAQAH

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara VhoutenJr yang selalu “ mengunjungi kami “ di masa cuti dan selalu meluangkan masa untuk mempelajari selok-belok pengetahuan Islam . Alangkah bertuahnya agama Islam ini jika kebanyakan belia-beliawanisnya mempunyai sikap seperti saudara :yess , dan itulah harapan dan doa kami agar Allah Ta’ala meramaikan belia-beliawanis Islam yang cinta akan agama Allah Ta’ala ini :doa .

Menurut pemerhatian kami , apa yang tersirat di sebalik soalan saudara ini sebenarnya mempunyai 3 masalah , iaitu :

{ 1 } ~ Siapakah orang yang paling layak menjadi imam bagi sembahyang berjemaah ? .

{ 2 } ~ Sahkah solat seseorang imam yang tidak pandai mengenai Ilmu Tajwid ? .

{ 3 } ~ Kalau tidak sah , apakah para makmum semua perlu melakukan “ mufaraqah “ ( niat berpisah dengan imam itu dan meneruskan sembahyang itu secara bersendirian ) ? .

Dengan hidayah , taufiq dan petunjuk daripada Allah Yang Maha Mengetahui berikut ini adalah jawapannya :

Pertama : YANG PALING LAYAK SEBAGAI IMAM :


Para Fuqaha’ ( cendekiawan Fiqh ) rh telah menggariskan beberapa panduan di dalam permasalahan ini dan mereka telah meletakkan nilai keutamaan yang dituntut itu tertib ( mengikut tertiba keutamaan ) . Akan tetapi kami tidaklah mahu membahaskan masalah itu secara panjang lebar , maka ringkasannya begini :

Menurut al-Imam Nu’man Bin Tsabit ( Abu Hanifah ) rh , al-Imam Malik Bin Anas rh dan al-Imam Muhammad Idris asy-Syafi’e rh yang paling layak menjadi imam bagi sesebuah kumpulan itu di dalam sembahyang mereka ialah YANG PALING ARIF , kemudian diikuti pula YANG PALING PANDAI TAJWID DAN SEDAP BACAANNYA .

Yang paling arif ( mengerti ) di situ tidaklah semestinya mengerti semua permasalahan Fiqh yang begitu luas ini , bahkan cukuplah mengerti hukum-hakam yang berkaitan dengan sembahyang , sama ada daripada segi sah ataupun tidak sesuatu amalan itu dikerjakan di dalam sembahyang .

Dalil ketiga-tiga imam itu ialah sabda Baginda Rasulullah s.a.w :

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ

Ertinya : “ ( Sepatutnya ) Dijadikan imam bagi sesuatu kaum itu ialah golongan yang paling mengerti mengenai kitab Allah . Kalau semuanya sama dari segi itu , maka yang paling mengerti mengenai as-Sunnah “[/color] ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh Jemaah Imam Hadist melainkan al-Imam al-Bukhari rh ( Nasb ar-Rayah : 2 / 24 ) .

Akan tetapi , Imam Ahmad Bin Hanbal rh tidak pula berpendapat dengan ketiga-tiga imam di atas , sebaliknya beliau rh mengatakan bahawa yang paling layak menjadi imam ialah yang paling pandai mengenai hukum-hakam Ilmu Tajwid dan yang sedap pula bacaannya .

Kami lebih cenderung untuk berpihak kepada pendapat pertama di atas kerana mengerti mengenal hukum-hakam sembahyang melalui pengajian al-Quranul Karim dan as-Sunnah lebih diperlukan / diutamakan berbanding dengan kemahiran Ilmu Tajwid dan sedab bacaan al-Quranul Karim .

Para sahabat r.a dahulu apabila digelar sebagai “ orang yang paling sedap membaca al-Quran “ , maka sudah tentulah mereka itu juga ialah yang paling mengerti mengenai al-Quranul Karim , disebabkan para sahabat r.a itu sendiri berguru mengenai hukum-hakam Islam dan sebagainya daripada Baginda Rasulullah s.a.w sendiri .

Berbeza dengan zaman sekarang , tidak sedikit di kalangan mereka yang hebat Ilmu Tajwidnya , menang pula musabaqah al-Quran berkali-kali , akan tetapi hukum-hakam Fardhu ‘Ain pun tidak dipelajarinya dengan begitu teliti dan baik .

{ 2 } ~ KESALAHAN TAJWID DAN BACAAN SI IMAM :


Kesalahan membaca al-Quranul Karim dikenali sebagai “ اللحن “al-Lahn .

Al-Lahn ini terbahagi pula kepada 2 bahagian ;

{ i } ~ al-LAHN al-JALI ( Kesalahan Yang Nyata ) :


Seperti kesalahan itu disebabkan kesalahan membaca baris sesuatu kalimah ataupun kesalahan menyebut satu huruf hingga menjadi huruf lain .

Termasuk juga kesalahan itu sama ada kesalahan yang membawa kepada kerosakan pada makna ataupun tidak .

Kesalahan disebabkan al-Lahn al-Jali ini adalah HARAM dan membawa DOSA kepada si pelakunya ( dengan sengaja ) dengan kesepakatan di kalangan seluruh ulama’ rh .

{ ii } ~ al-LAHN al-KHAFI ( Kesalahan Yang Tersembunyi ) :


Seperti disebabkan tertinggal membaca “ ghunnah “ ( dengung ) , memendekkan kalimah-kalimah yang perlu dibaca dengan panjang ataupun sebaliknya dan sebagainya lagi .

Kesalahan ini dinamakan sebagai “ Tersembunyi “ kerana masalah-masalah ini hanya diketahui oleh mereka yang benar-benar mahir mengenai selok-belok Ilmu Tajwid , berbanding dengan al-Lahn al-Jali di atas .

Kesalahan disebabkan al-Lahn al-Khafi ini boleh membawa kepada HARAM ( menurut pandangan segolongan ulama’ rh ) ataupun MAKRUH ( menurut pandangan segolongan lain pula drp kalangan ulama’ rh ) .

Kembali kita kepada masalah yang ditanya oleh Saudara VHoutenJr tadi , maka yang jelas imam itu TIDAKLAH SENGAJA membaca huruf Dhod menjadi huruf THO’ . Walaupun ia tidak sengaja , tetapi apabila ia berlaku secara berulang-ulang , walaupun tidaklah sampai ke tahap kerap sangat ataupun selalu , maka imam itu sepatutnya TIDAK LAGI dilantik sebagai imam sembahyang .

Kita semua memang sangat-sangat berharap agar pihak berkuasa agama Islam di dalam negara kita , ataupun AJKT masjid / surau sentiasa memantau permasalahan seperti ini agar tidak menimbulkan keresahan dan sikap tidak senang di kalangan para jemaah / anak-anak karyah .

{ 3 } ~ PERLUKAH SI MAKMUM “ MUFARAQAH “ ? :

Menurut mazhab Imam asy-Syafie rh , imam yang seperti di atas tadi , dikenali sebagai “ UMMIY “ ( erti Ummiy ini asalnya ialah yang buta huruf ) . Seseorang yang Ummiy ~ seperti imam itu , yang selalu bertukar-tukar huruf-huruf di dalam bacaannya ataupun yang menyebabkan sesuatu makna ayat itu boleh berubah drp asalnya ~ maka TIDAK SAH diikuti imam seperti itu di dalam sembahyang berjemaah terutama sekali di bacaan al-Fatihah disebabkan ia adalah salah-satu drp rukun sembahyang .

Oleh itu hendaklah si makmum itu melakukan MUFARAQAH ( berpisah dengan imam itu dgn melakukan terus sembahyang itu secara bersendirian pula ) . Jika mufaraqah itu dilakukan disebabkan sebab-sebab yang dibenarkan syarak ( seperti imam di atas tadi ) , maka hukumnya adalah HARUS ( dibenarkan ) , dan jika dilakukan mufaraqah itu tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak , hukumnya adalah MAKRUH .

Nasihat kami kepada mereka yang beramal dengan mazhab al-Imam asy-Syafi’e rh :

Tidak perlulah melakukan mufaraqah dengan imam yang tersilap bacaan al-Fatihah kerana bukakankah saudara-saudari sendiri akan membaca pula surah al-Fatihah itu selepas Amin , iaitu ketika imam membaca surah ? . Dan al-Fatihah yang saudara/i baca itu sendiri sudah cukup untuk menjadikan sembahyang saudara/i sekalian sah dan diterima , Insya-Allah .

Dan kalau saudara/i sendiri masih merasa tidak cukup dengan al-Fatihah yang saudara/i baca itu , maka mengapa pula ianya dibaca selepas Amin ? , bukankah lebih baik diam dan dengar dengan baik bacaan surah oleh imam itu sebagai mana penganut-penganut mazhab selain mazhab Imam asy-Syafi’e !? . Ataupun kalau masih merasa tidak cukup , saudara/i sendiri bolehlah menambah satu lagi rakaat untuk menyempurnakan sembahyang itu disebabkan rakaat yang pertama tadi dianggap tidak sah sendiri oleh saudara/i .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 ~ al-FIQHUL ISLAMI WA ADILLATUH
Oleh : Al-‘Allamah Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaily ha
{ Ketua Jabatan Fiqh & Perbandingan Mazhab , Universiti Damsyiq , Syiria }
Jilid : II , Halaman : 1201 – 1205 , 1214 , 1225 – 1227
Terbitan : Darul Fikr ( 1997 )

[color=red] 2 – al-IDOH : Fi TAJWID KALAM al-FATTAH [/color]
Oleh : Almarhum al-‘Allamah Syeikh Abdullah al-Jauhari as-Saiyid rh
{ Salah-seorang Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemeriksa Mushaf al-Quranul Karim Cetakan Mesir }

0 comments:

Post a Comment