Feb 18, 2009

Imam Senyap Slps Fatihah & Mufaraqah

salam,

ana ada dua kemusykilan.

1- adakah sunnah imam yang selesai baca fatihah menunggu makmum selesai baca fatihah baru imam membaca surah...bagi solat jahar.

2- seorang bertaraf ustaz beritahu bahawa seorang yg uzur ( tua, sakit kaki dll) dalam solat jumaat boleh mufaraqah dalam rakaat kedua. dia hanya perlu bersama imam satu rakaat shj dan rakaat ke2 dia menghabiskan solat jumaat lebih awal dr imam. ada dalilkah qaul ini?

jkk

**********************
Abu_Umair
Panel Feqh


بسم الله


والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد


1- Sesetengah fuqaha mengatakan sunat bagi imam senyap seketika selepas selesai bacaan Fatihah. Berdasarkan satu hadis Samurah bin Jundub:


أَنَّهُ حَفِظَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- سَكْتَتَيْنِ سَكْتَةً إِذَا كَبَّرَ وَسَكْتَةً إِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَةِ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ


Maksudnya: "Beliau mengingati daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dua saktah (senyap) iaitu saktah apabila bertakbir (Takbiratul Ihram), dan saktah apabila selesai membaca 'Ghairil Maghdhuubi Alaihim Waladdhoolliin'."
Direkod dalam Sunan Abi Daud (no: 779) dan Tirmizi (no: 251). Hadis ini dipertikaikan kesahihannya kerana ia riwayat Hasan daripada Samurah.

Kata Imam Tirmizi, "Hadis Samurah ialah hadis hasan, dan ia adalah pendapat beberapa ilmuan, iaitu menggalakkan bagi imam melakukan dua saktah (senyap), selepas memulakan sembahyang dan selepas selesai bacaan (Fatihah). Dan pendapat ini dipegangi oleh Ahmad, Ishaq dan ashab kami". (Sunan Tirmizi 2/30).

Hikmah senyap seketika sebelum membaca surah, ialah sebagaimana nukilan Tirmizi daripada perawi bernama Qatadah, iaitu supaya imam dapat mengembalikan semula nafasnya.

Dan fuqaha yang mewajibkan Fatihah bagi makmum dalam solat jahriyyah, menjadikan saktah ini sebagai waktu untuk makmum membaca Fatihah. Supaya tidak ada percanggahan dengan nas-nas yang menyuruh senyap apabila mendengar bacaan Quran.

2- Ulama tidak beselisih bahawa Solat Jumaat hanya sah dilakukan secara berjemaah. Oleh itu, makmum tidak boleh mufaraqah imam dalam solat Jumaat.

Cuma perselisihan di kalangan fuqaha, bolehkah makmum bermufaraqah dalam solat Jumaat selepas rukuk pada rakaat kedua. Punca perselisihan ialah adakah syarat untuk dikira sempat berjemaah, makmum hanya perlu sempat rukuk dengan imam atau disyaratkan rukuk dengan imam sehingga selesai salam imam?

Kedua-dua pendapat ini adalah berkemungkinan. Tetapi yang ditarjihkan oleh ramai ulama ialah disyaratkan berterusan bersama imam sehingga imam memberi salam. Imam Suyuti membahaskan panjang lebar masalah ini dan mengemukakan 10 hujah utama menguatkan pendapat yang mensyaratkannya.

Kata beliau: "Yang paling berjaga-jaga ialah: Tidak harus mufaraqah imam sebelum salam". (Al-Hawi Lil Fatawi).

Wallahu A'lam.

0 comments:

Post a Comment